Isnin, 1 Oktober 2012

Persaraan Pengetua Ramli Musa


Majlis Persaraan Pengetua Cemerlang SMK Pengkalan Berangan dirai penuh meriah.

Marang,  Pengetua Cemerlang SMK Pengkalan Berangan En Ramli bin Musa telah diraikan dengan penuh meriah dalam satu majlis persaraan yang diadakan di dewan Al-Ghazali  SMK Pengkalan Berangan pada 10 September  2012 yang baru lalu.

Beliau yang telah menabur bakti selama 32 tahun (1980-2012) sebelum ini pernah menjadi Pengetua di SMK Merchang dan SMK Jenagor.  Dalam ucapan terakhirnya kepada guru-guru dan pelajar SMK Pengkalan Berangan, beliau berpesan agar meneruskan kecemerlangan samada dalam bidang akademik mahupun bidang kokurikulum. Guru dan pelajar perlu ikhlas dalam proses menitis dan menadah ilmu kerana sesebuah kejayaan yang diperoleh itu akan lebih bermakna dan memberi kesan yang mendalam jika didapati dengan niat yang ikhlas kerana Allah.

Sebelum itu En. Ramli bin Musa diarak dengan paluan kompang dan bunga manggar oleh pengawas sekolah SMK Pengkalan Berangan. Turut hadir dalam majlis persaraan tersebut ialah Penasihat Agama YAB Menteri Besar Terengganu, Ustaz Kamalrudin bin Omar  yang juga bekas rakan seperkhidmatan beliau di SMK Jenagor Hulu Terengganu.

 

 Dalam majlis persaraan tersebut, En Ramli bin Musa turut menerima hadiah sebuah motorsikal EX-5 sumbangan warga SMK Pengkalan Berangan sebagai menghargai khidmat bakti beliau di sekolah tersebut.

 

Laporan : 10 September 2012

Tiada ulasan:

Catat Ulasan